Jumaat, 12 Jun 2009

6 - dosa jumaat dan persediaan menjadi plastik

Aku bangun pagi tadi dengan rasa lenguh melampau di tulang belakang dan syaitan masih bergayut riang di kelopak mata aku. Tilam dan bantal pun menyanyi-nyanyi senandung memujuk aku kembali ke pelukkan mereka.

Jumaat.
Hari paling berdosa untuk aku.
Kerana aku akan jamahkan nafsu penglihatan aku dengan maksiat memandang lelaki-lelaki bukan muhrim yang begitu gagah dan seksi berbaju Melayu lengkap samping dan capal sepanjang hari.

Walau bagaimana sampah, ego, loser atau sengal lelaki Melayu, hati dan jiwa aku masih lagi mahu dimiliki oleh lelaki Melayu. Dengan kulit sawo matang, badan sederhana besar dan rambut hitam berkilat, sudah cukup kuat untuk buat jiwa aku bergetar irama cinta.

Bukan perkauman atau mendiskriminasi.
Tapi, aku rasa lebih senang bernikah dengan lelaki Melayu.
Tak perlu diajar cara bersolat dan berpuasa.
Sudah pandai makan belacan dan budu.

Aku ini sendiri amalannya selalu bengkok, tidak lengkap dan tidak cukup. solat yang aku dirikan pun belum tentu diterima Tuhan. Ayat-ayat suci yang aku alunkan pun belum tentu tepat idgham dan izharnya.

Masakan layak iman yang cuma sekukuh agar-agar, dijentik perlahan runtuh terus hancur ke bumi ini untuk membimbing si suami yang muallaf menyelami tiap ajaran Islam.

Baju kurung merah jambu tergantung di depan pintu almari baju aku.
Haih.
Esok Anna nikah.

Aku sedang berkira-kira untuk tidak pergi sebagai tanda protes tidak setuju. Aku tak sanggup tengok Anna mendapat pahala bila dicium dahinya oleh Poji.

Mesti sekarang ini Poji ketawa terbahak besar dengan nada penuh sarkastik setiap kali dia ingat muka aku. Kebencian aku pada Poji tidak langsung membantu apa-apa. Anna terlalu sayangkan Poji. Dan, dengan cuma 24 jam saja lagi menjadi raja sehari, tak mungkinlah Anna akan dengar hasutan aku untuk tinggalkan Poji.

Esok akan jadi hari yang panjang. Sangat panjang. Aku ajak Marissa teman aku. Dia tak nak. Ada tuisyen. Terpaksalah aku pergi sendiri.

Haih.

Tak apalah. Aku kan paling jaguh bab muka plastik.
Esok, segalanya akan plastik. Senyuman, kata-kata dan air mata.
Aku akan senyum bahagia sepanjang hari.
Aku akan bercakap hanya kata-kata indah yang seorang pengantin perempuan mahu dengar.
Aku akan menangis terharu bila tangan Poji dihenjut Tok Kadi tanda sah.

Hmmm...
Tapi, aku kena pilih sekarang. Aku jadi plastik jenis apa?
Plastik jenis tupperwear,
plastik jenis beg plastik Giant
atau plastik jenis kerusi plastik?

Tiada ulasan: