Khamis, 11 Jun 2009

5 - puasa

Aku puasa hari ni.
Puasa ganti.
Sahur roti gandum penuh yang disapu dengan jem coklat hazelnut dan air coklat panas.

Selalunya, jika sahur bulan Ramadhan, emak pasti masak nasi goreng atau ikan bilis masak kicap sama telur mata atau kalau emak malas, dia panaskan lauk berbuka. Masa itu, memang langsung tak selera. Terpaksa juga gagahkan kombinasi tangan dan mulut untuk sumbat nasi dan lauk ke dalam perut.

Sejauh umur sekarang, Ramadhan banyak hadiahkan kenangan manis dan pahit dalam hidup aku.

Arwah pak cik aku meninggal 8 hari sebelum Aidilfitri.
Marissa lahir pada hari kedua Ramadhan.
Sambut hari lahirku, sendirian, di tengah-tengah bulan Ramadhan waktu di universiti.
Abah terkandas di Qatar 3 hari tanpa khabar berita dan hanya dapat pulang pada malam terakhir Ramadhan.

Dan, yang paling aku tidak boleh lupa, sambut 1 Ramadhan bersama keluarga ex-boyfren.
Aku kunci jam di telefon tapi aku tak sedar bunyi jam.
Si ex-boyfren kejut aku dengan hantar SMS. Malangnya, peti masuk telefon aku penuh. Telefon ex-boyfren pula habis kredit. Terpaksalah dia pinjam telefon emaknya, untuk telefon aku.

Aku bangun, basuh muka dan turun ke dapur, muka emaknya sudah lain macam. Aku pula buat bodoh saja. Habis makan, emaknya terus naik atas dan aku kena cuci pinggan.

Waktu aku nak balik, emak dia tak turun. Cuma ayah dan adik perempuan si ex-boyfren yang hantar aku sampai pintu. Aku minta ayahnya sampaikan salam dan terima kasih aku pada emaknya.

Beberapa bulan selepas itu, aku dan si ex-boyfren bergaduh besar.
Di saat aku dan dia sedang bertikam kata-kata, terluncur tanpa sengaja yang emak dia langsung tidak berkenan pada aku. Jadi, aku tak perlulah bersusah-payah menyayangi dia kerana emaknya tidak akan restu.

Gelap dunia aku sekejap.
Bakal mak mertualah yang paling penting perlu dimenangi hatinya.
Kalau tidak, jangan haraplah hendak jadi menantu.

Dipendekkan cerita, setahun selepas itu, setelah bertungkus-lumus, berendam air mata, bercaci-maki dan berhabis duit membeli kad tambah nilai, aku tinggalkan si ex-boyfren.

Banyak sebab aku tinggalkan dia tapi antara sebab utamanya adalah aku takkan dan tak mungkin boleh sekepala dengan emak dia. Aku pun tak nak jadi menantu underdog dalam keluarga dia.

Huergh.
Aku ada empat hari lagi nak ganti puasa.
Cuaca pula makin panas.
Jerebu pun masih tebal menyelubung kota.
Hmmm.. agaknya, apa emak masak untuk aku berbuka nanti?

Tiada ulasan: