Selasa, 23 Jun 2009

13 - muktamad

Aku khabarkan berita pemergian aku pada Halijah.
Terkejut, dia minta aku jangan pergi. Dia kata setelah Anna bernikah, dia tidak punya teman anak dara buat bersuka-ria.

Dia minta aku pertimbangkan. Dia kata mungkin berada di tanahair adalah lebih baik. Dekat dengan keluarga, hampir dengan kawan-kawan. Jika aku dirundung kesusahan, sekelip mata pertolongan datang menghulur tangan.

Betul juga apa yang dihujah si Halijah.
Tapi, hingga bila aku harus begini? Menjalani kehidupan yang sangat rutin, tanpa tujuan yang jelas dan tanpa cabaran.

Aku mahu rasa dicabar.
Aku mahu rasa hidup sebagai minoriti.
Aku mahu bina hidup aku dari tingkat yang terpaling bawah.
Aku mahu kejayaan aku bermakna lebih dari hanya kejayaan.
Aku mahu menangis disebabkan kejayaan.

Jujur, sedikit pun hati aku tidak ragu pada keputusanku untuk pergi walau dipujuk Halijah. Bukanlah aku tidak sayangkan dia. Tapi, bila sudah seumur nyawa aku tunggu peluang itu tiba, aku mimpikan peluang itu setiap waktu, apa saja yang cuba menghalang akan aku henyak dan campak jauh ke dasar laut.

Ini untuk pertama kalinya, keputusan yang aku muktamadkan atas dasar kemahuan aku sendiri. Bukan kerana keluarga, bukan kerana cinta, bukan juga kerana kawan-kawan. Buat pertama kalinya, aku sangat pasti bahawa pemergian ini adalah yang terbaik untuk hidup aku.

Halijah punya boyfren.
Halijah punya teman baik perempuan yang ramai.
Apalah sangat aku ini?
Yang hanya dia temui 2 bulan sekali. Sejujurnya, aku rasa jika Halijah ditimpa kesusahan, pasti, aku adalah orang terakhir dalam senarai untuk dia minta pertolongan.

Ahh..
Mungkin aku terlalu memandang rendah pada diri aku sendiri.
Mungkin aku ini bermakna lebih dari yang aku tahu pada diri Halijah.
Mungkin aku bukan sekadar kawan biasa.

Hmmmm...
Apa-apa pun, visa telah aku mohon. Waktu penerbangan telah ditempah. Jaket tebal, kasut but dan bagasi besar telahku beli.
Sudah terlalu lambat untuk aku berpatah ke belakang.

Tiada ulasan: