Jumaat, 19 Jun 2009

10 - aku dan obama

Aku letih.
Aku kering.

Aku terdampar di tepian pantai di pulau yang tidak tercatat dalam mana-mana peta atau ensiklopedia.

Aku lapar.
Aku dahaga.

Yang dibekalkan dengan aku, hanyalah sehelai pakaian yang sedang aku pakai sekarang yang sudah basah dan rasa masin air laut.

Pada siapa hendak aku jeritkan pertolongan?
Pada apa hendak aku sandarkan tubuh yang lemah tanpa zat makanan?

Pasrah.
Ya. Pasrah saja pada Tuhan.

---------

Hidup ini misteri.
Mati itu misteri.
Takdir juga misteri.

Dan aku terpaling benci pada kejutan. Perkara yang tidak disangka-sangka datang tiba-tiba, mengoncang seluruh tenang hidup dan menuntut untuk aku ubah arah hidup serta merta.

Emak, Abah, Kak long, Marissa, Abang dan Adik menyokong.
Mereka sentiasa menyokong, walau hati mereka rasa keberatan melampau. Ini demi masa depan yang lebih baik. Untuk kesenangan aku juga. Bukankah ini impian aku sejak kali pertama baca ucapan-ucapan Aidilfitri di bahagian Salam Perantau di suratkhabar?

Belum aku canangkan berita ini kepada Anna dan Halijah.
Entahlah, semenjak Ahad lepas, aku tidak berhubung dengan Anna lagi. Mungkin dia sibuk. Dan, sepatutnya aku lebih bersedia yang Anna tidak akan jadi Anna gila yang aku kenal dulu.

Halijah pula sibuk dengan usahanya memenangi hati si bakal emak mertua.
Alahai lecehnya, bila yang Syed harus bersama Syarifah. Yang Tengku bersama Tengku. Ungku bersama Ungku.
Kisah cinta antara dua darjat ini memang lapuk tapi tragisnya tetap juga merentap tajam terus ke benak pada si empunya diri yang tidak punya apa-apa gelaran sebagai perkataan pertama namanya.

Aku pernah kata pada Halijah, kenapa kau yang bersusah-payah? Kenapa tidak si boyfren saja yang menyakinkan ibunya bahawa kau adalah oksigen yang bikin dia hidup setiap hari?

Halijah balas, kurang ajarlah aku jika tidak berusaha. Aku mahukan nikahi anaknya. Bermaksud, aku nikahi juga seluruh keluarga dan saudara-mara dia. Terima segala tabiat buruk dan cara hidup mereka yang mungkin tidak aku senangi. Ia seperti satu pakej.

Tempohnya agak suntuk. Lebih kurang sebulan lebih. Awal Ogos nanti, selamat tinggal Malaysia dan how y'all doin', Joliet?

Hah.
Obama, akhirnya, dapat aku berpijak pada bumi yang sama dan bernafas di bawah lapisan ozon yang sama dengan kau.

Tiada ulasan: